Pasangan mahu berkahwin digalak lakukan ujian Talasemia

KOTA MARUDU : Penting bagi pasangan yang berhasrat untuk berkahwin mereka perlu mengetahui status kesihatan masing-masing dengan melakukan ujian Talasemia sebelum berkahwin, kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda.

Beliau berkata, ujian awal sebelum perkahwinan mampu mempastikan penyakit Talasemia dalam keadaan terkawal.

Pasangan mahu berkahwin digalak lakukan ujian Talasemia.

“Ujian tersebut adalah untuk mengenal pasti sama ada pasangan yang bakal berkahwin adalah sihat atau pun pembawa talasemia sama ada minor, intermedia atau pun major, dengan itu pasangan dapat mengetahui status kesihatan sebelum berkahwin,” katanya ketika merasmikan Program Sambutan Hari Talasemia Zon Utara di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini, semalam.

Ia membabitkan Kota Marudu, Kudat, Pitas dan Matunggung yang dianjurkan oleh Persatuan Thalasemia Cawangan Kota Marudu bersama, Persatuan Lung Yen dan Skuad Ar-Rayyan Beaufort.

Pasangan mahu berkahwin digalak lakukan ujian Talasemia

Program yang menggabungkan konsep mendidik, memberi kesedaran dan menimbulkan rasa keprihatinan masyarakat tentang Talasemia itu dihadiri kira-kira 300 pengunjung.

Program Derma Darah turut diadakan bersempena dengan sambutan kali ini, dengan sejumlah 68 beg darah berjaya dikutip untuk kegunaan tabung darah Hospital Kota Marudu dan daerah terdekat.

Untuk program tersebut, sebanyak 400 bakul makanan disumbangkan oleh Persatuan Lung Yen Sabah, manakala 100 bakul makanan disumbangkan oleh Persatuan Hongmen Sabah.

Persatuan Lung Yen Sabah turut menyumbang dua unit Canafusion Ambulatory Syringe Pump dan satu unit pula sumbangan syarikat swasta Core Realty untuk kegunaan Pusat Jagaan Harian Pesakit Talasemia Kota Marudu.

Persatuan Hongmen Sabah (Stanley Ng Group) turut menyumbang dua buah alat pendingin hawa untuk kegunaan klinik tersebut.

Terdapat juga sumbangan berbentuk makanan dari Pesona Bayu Industries Sdn Bhd, Tong Guan Food Products Sdn Bhd dan sumbangan orang perseorangan Lai Heng Wo.

Tambah Redonah lagi, peranan ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan amat penting dalam memberi semangat kepada pengidap Talasemia manakala orang ramai pula digesa untuk terus membantu dengan menderma darah dari masa ke semasa.