SANDAKAN : PAS Sabah menyambut baik inisiatif kerajaan negeri melancarkan kempen Sifar Pandemik COVID-19 sebagai penanda aras baharu sekali gus menyasarkan mencapai angka kes sifar harian di negeri ini.
Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan berkata, komitmen kerajaan negeri dilihat bersungguh-sungguh bagi mengutamakan kesihatan serta keselamatan rakyat khususnya di negeri ini.
Katanya, pelbagai agenda digerakkan bagi memastikan kesihatan serta keselamatan rakyat sentiasa terpelihara disamping selaras dengan usaha kerajaan di peringkat persekutuan.
“Hubungan baik yang wujud antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional (PN) menterjemahkan pelbagai program yang direncanakan demi kesihatan rakyat berjalan dengan lancar.
“Faktor kelancaran ini juga dipengaruhi oleh kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak terlalu bermain politik ketika rakyat menghadapi krisis hari ini sebaliknya memberi tumpuan yang penuh dalam membendung pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Dr Aliakbar berkata, ini termasuklah membantu masyarakat dalam aspek kebajikan rakyat dan terkini bagi menjayakan kempen vaksinasi sehingga Sabah mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Noor melancarkan kempen Sifar Pandemik COVID-19 Peringkat Negeri Sabah bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
SabahNewsToday