KOTA KINABALU: Pas Sabah mengharapkan keadilan kepada semua komponen parti politik dan wilayah dalam pembentukan kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, Pas yakin dengan kebijaksanaan Ismail Sabri yang berpengalaman dalam politik dan kabinet termasuk jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun katanya, Pas Sabah mengharapkan kesepakatan untuk memberi satu kesepaduan yang kukuh dalam pembentukan Malaysia yang lebih aman dan harmoni.
“Kita juga mengharapkan keadilan untuk semua, yang pertama adil dari segi parti komponen dan kedua adil dari segi wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak boleh mengharapkan hanya satu wilayah lebih penting berbanding yang lain.
Jadi kita harap perwakilan dari segi pembentukan kabinet juga menggambarkan keadilan untuk semua wilayah,” katanya dalam laporan Sinar Harian hari ini.