KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara solo pada 19 November ini.
Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, ini berikutan KDM setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas permohonan untuk menjadi rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, KDM sebelum ini sudah mengisytiharkan parti itu adalah mesra gabungan terbabit sekali gus memohon untuk menyertainya secara rasmi.
“Di peringkat parti kita juga mempunyai perancangan. Oleh kerana mereka (GRS) tidak menerima kita sebagai rakan dalam GRS, jadi perjuangan kita kena teruskan.
“Kita juga terpaksa lakukan sedemikian kerana tiada hitam putih daripada GRS maka kita akan bergerak solo dalam PRU-15 ini,” katanya dalam sidang media malam tadi.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) secara rasmi, malam tadi.
Pengumuman terbabit sekali gus menjadikan teka-teki dan spekulasi mengenai status Wetrom selepas disahkan keluar dari BERSATU Sabah terjawab.
Dalam satu sidang media khas malam ini, Wetrom memberitahu pemberita beliau menyatakan kesediaannya bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu atas tiket KDM.
“Apabila kita berbincang di akar umbi dan juga rakyat di Kota Marudu, saya mendengar hasrat mereka. Perjuangan KDM lebih serasi dengan perjuangan kita.
“Sebab itu akhirnya saya memilih untuk bersama dan berjuang bersama KDM dan juga secara keseluruhannya untuk rakyat di negeri Sabah,” katanya.