Sabah kekal destinasi menarik untuk pelabur luar – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah akan terus mengekal momentum sebagai destinasi menarik untuk pelabur datang ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata banyak peluang boleh dimanfaatkan khususnya dalam pelbagai sektor agar Sabah kekal konsisten menarik lebih banyak pelaburan.

Katanya, dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasional (GRS-BN) sebanyak 46 syarikat telah melabur di Sabah dalam sektor perkilangan, sekali gus memberi kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

“Dalam tempoh itu, jumlah pelaburan asing adalah sebanyak RM11. 9 bilion, manakala pelaburan tempatan sebanyak RM942 juta.

“Sabah akan mendorong momentum ini dan kita yakin Sabah sedang dan akan terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya di sini semalam.

Teks ucapannya, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji menggesa KCCI serta dewan perniagaan lain agar memanfaatkan semua peluang ini untuk maju, sekali gus membantu membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah.

“Misi dan aspirasi saya adalah melihat Sabah yang progresif. Kerajaan tidak pernah berhenti dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan untuk Sabah dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah menawarkan penyertaan serta mapan daripada golongan Bumiputera agar menyahut gesaan Kerajaan untuk turut serta dalam proses transformasi ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

“Terpulang kepada kebijaksanaan dan kapasiti ahli-ahli KCCI untuk menyesuaikan proses anjakan kepada satu bentuk ekonomi baharu yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

“Ambillah kesempatan bergabung dengan syarikat luar yang mempunyai kemahiran dan kepakaran terkini,” katanya.