“Pandangan saya harmonikan dulu hubungan BN dan PH Sabah,” kata Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Hubungan Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah wajar diharmonikan dahulu sebelum memikirkan strategi menjernihkan hubungan BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketika membuat gesaan itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata ini penting kerana ia merupakan elemen asas bagi menjayakan kerjasama dengan rakan gabungan lain.

“Saya anggap pandangan saudara Razif agak subjektif kerana saya melihat hampir semua parti dalam negeri Sabah ini menyokong kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan persekutuan termasuk Warisan dan parti KDM.

“Kenapa tidak kita melihat kepada segala kemungkinan yang boleh membawa kejayaan bersama bagi membangun negeri dan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffery berkata demikian ketika mengulas gesaan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin agar BN menjernihkan hubungan dengan GRS bagi mengelakkan PH tersepit menyebabkan gerak kerja PRN terjejas.

Razeef berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam berhubung kerjasama dengan PH yang dilihat seiring dengan aspirasi kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Sehubungan itu, Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan turut mencadangkan agar PH Sabah dn Warisan juga menjernihkan hubungan di antara mereka, kerana sebelum ini mereka sudah terbukti boleh bersama dalam membentuk kerajaan negeri dan persekutuan.

“Ini tidak menjadi kesalahan kerana parti tersebut juga menyokong kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Asasnya perlu diperkukuhkan sebelum memikirkan tindakan yang selanjutnya, kita juga perlu melihat kepada kekuatan parti, isu-isu semasa dan sentimen rakyat Sabah.

“Ini semua berlaku apabila tarikh PRN dn PRU tidak lagi sama, kedinamikan dan kepintaran dalam mencatur strategi politik amatlah dituntut ketika ini, sudah tentu harapan kepada kestabilan dan keharmonian serta perubahan yang dimpikan oleh rakyat Sabah menjadi keutamaan.

“Kita mahu melihat kepada kestabilan kerajaan persekutuan dan perubahan yang drastik kepada semua permasalahan yang sedang berlaku di negeri Sabah ketika ini,” katanya.