KOTA BELUD: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kampung Pituru Laut, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, semua mangsa membabitkan seorang wanita berusia 40 tahun, lelaki 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berumur 4, 7 dan 10 tahun dilaporkan mengalami kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 8.33 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D-Max yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung.
“Semua mangsa bagaimanapun sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada semua mangsa di lokasi kejadian sebelum menghantar mereka ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 malam selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Kes disiasat lanjut oleh pihak berkuasa.
