Hampir Pengsan Daki Bukit, Wanita Diselamatkan Bomba

LABUAN: Hasrat lima sahabat menawan laluan MTB Park Hiking Merinding Trail bertukar cemas apabila seorang wanita hampir pengsan akibat kepenatan melampau, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.44 pagi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat sekumpulan pendaki terkandas di laluan bukit berkenaan.

Menurut kenyataan JBPM, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan.

“Setibanya di lokasi, terdapat lima pendaki terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita.

“Pemeriksaan awal Unit EMRS mendapati seorang wanita mengalami kepenatan dan hampir pengsan, manakala empat lagi dalam keadaan stabil,” katanya.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian membawa turun mangsa dengan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Hospital Labuan untuk rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan selepas keadaan terkawal dan semua pendaki selamat.