Sabah tidak perlu Konsulat India, keutamaan harus pada Filipina

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Df Jeffrey Kitingan menegaskan Sabah tidak memerlukan penubuhan Konsulat India kerana komuniti India di negeri itu kecil dan majoritinya merupakan warganegara Malaysia.

Beliau berkata, Sabah juga tidak berdepan keperluan untuk membawa masuk pekerja dari India memandangkan tenaga kerja asing dari Indonesia dan Filipina sudah mencukupi.

“Sabah tidak perlu Konsulat India. Jangan cipta masalah baharu untuk kami. Apa yang lebih diperlukan ialah Konsulat Filipina,” katanya.

Jeffrey mengulas kenyataan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap hasrat India membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu, susulan sidang media bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi pada 8 Februari lalu.

Cadangan itu dijangka mempermudah urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan serta pertukaran kebudayaan, selain memperkukuh sokongan kepada komuniti dan perniagaan India di wilayah sekitar.

Namun, cadangan berkenaan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Sabah di media sosial, dengan sebahagian pihak mempersoalkan rasional dan keutamaan penubuhan konsulat tersebut.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuk persoalan mengapa konsulat India perlu dibuka di Sabah sedangkan komuniti India lebih besar di Semenanjung Malaysia.

Sebahagian pengguna media sosial turut menyuarakan bahawa keperluan Konsulat Filipina di Sabah adalah lebih mendesak, mengambil kira isu pendatang tanpa izin (PATI), rentas sempadan dan jumlah warganegara Filipina yang besar di negeri itu.

Terdapat juga pandangan bahawa kerajaan negeri wajar dirunding sepenuhnya sebelum sebarang keputusan dibuat, selain menuntut supaya manfaat ekonomi yang dijanjikan benar-benar memberi impak langsung kepada rakyat Sabah.