TAWAU: OP Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM berjaya menggagalkan cubaan 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke daerah ini melalui laluan tidak diwartakan (laluan tikus), di sini kelmarin.
Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka ditahan di jambatan Dua, Kg. Kurnia Jaya batu 4 Tawau, dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui laluan yang tidak diwartakan (laluan tikus).
Katanya, kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, sepasukan anggota OP Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM yang sedang dalam tugas rondaan cegah jenayah telah ternampak kelibat beberapa orang dalam keadaan mencurigakan di jambatan dua, Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas.
“Hasil pemeriksaan mendapati 1 lelaki dewasa, 2 perempuan dewasa dan 2 kanak-kanak lelaki disyaki baru tiba dari negara jiran”.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku baru tiba daripada negara jiran Indonesia melalui laluan tikus”.
“Tiada rampasan barang-barang yang menyalahi undang-undang dijumpai bersama-sama dengan mereka.”
“Kesemua mereka yang berumur di antara 10 hingga 40 tahun itu telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fuad Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.
ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan pati selain memantau pergerakan kegiatan militan serta Kidnapping for ransom group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.
Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya.