KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Usahawan Sandakan (PUS), Noraini Sulong kini dilantik sebagai Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS).
Ini dilihat mampu mengukuhkan lagi peranan DPMS dalam membantu golongan peniaga Islam di negeri ini.
Noraini berkata, melalui peranan yang diberikan kepadanya sebagai Naib Pengerusi, beliau akan terus komited memperjuangkan kepentingan peniaga dan usahawan di negeri ini.
Selaku naib pengerusi yang baru dilantik, beliau akan memainkan peranan dalam memberi idea dan pandangan juga memastikan DPMS bergerak lancar sesuai dengan slogan Ekonomi Ummah Tanggungjawab Bersama.
Beliau berkata demikian selepas menerima surat pelantikan dalam satu majlis ringkas di ibu negeri kelmarin.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Agung DPMS, Abd Aziz Alagu dan Penasihat Hal Ehwal Pentadbiran, Ansar Maidin.
Noraini mengucapkan terima kasih kepada DPMS atas kepercayaan yang diberikan dan beliau berazam untuk membantu menjayakan misi dan visi DPMS memajukan ekonomi ummah.
Katanya, antara objektif DPMS ialah menyatupadukan semua peniaga dan pengusaha beragama Islam yang berbilang bangsa dalam satu pertubuhan untuk kepentingan ekonomi ummah.
Ia juga membantu peniaga dan usahawan dengan mengadakan pelbagai kursus seminar dalam membantu ahli mempromosikan produk masing-masing.
Selain itu, DPMS juga menggalakkan, memajukan dan menyalurkan peluang, informasi, berita atau maklumat yang berkaitan dengan perniagaan kepada ahli selain membuka peluang perniagaan dan ekonomi serta memberi bimbingan yang sewajarnya.
Menurutnya, DPMS juga sedia bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, NGO dalam merealisasikan lagi peranan DPMS.
DPMS juga merancang untuk membuka cawangan di setiap daerah bagi memudahkan setiap urusan perniagaan ahli.