KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengajak parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bergabung dengan parti itu untuk sama-sama menuntut hak perlembagaan dalam Persekutuan Malaysia demi rakyat dan negeri Sabah.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, perjuangan menuntut hak perlembagaan kian menampakkan hasil namun kesatuan politik negeri ini masih diperlukan untuk memperoleh agihan kewangan mengikut hak perlembagaan.
“STAR merupakan suatu parti gabungan yang memberi ruang kepada parti-parti politik dan NGO menjadi rakan sekutu demi menuntut hak dan agihan kewangan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan ucapan dasar presiden sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Kedua parti itu 21 Oktober lalu.
Menurut Dr. Jeffrey, Sabah amat memerlukan kekuatan politik untuk memperbetulkan tafsiran kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan dari tafsiran berasaskan Persekutuan Malaya 1957 kepada tafsiran berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dr. Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan seterusnya mengajak parti-parti seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan UPKO untuk bersekutu dengan STAR demi memperbetulkan tafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita harus menuntut apa yang menjadi hak rakyat dan negeri Sabah, kita harus mendapat agihan kewangan pembangunan mengikut tujuan kita membentuk Persekutuan Malaysia,” katanya.
Jika hak-hak tersebut tidak dituntut, katanya; “maka selama-lamanya kita akan jadi peminta-minta kepada Malaya, kita akan menjadi hamba Malaya selama-lamanya.”