Muzium Negara guna kaedah bayaran Casless mulai 1 April

LABUAN : Muzium Negara akan melaksanakan Sistem Terimaan Hasil secara elektronik (Cashless)  selaras hasrat kerajaan menggalakkan transaksi tanpa sentuhan sekali gus merancakkan perbelanjaan digital bermula 1 April ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Muzium Negara menjadi projek rintis tanpa tunai sebelum diperluaskan ke kawasan lain menerusi kaedah Cashless pembayaran melalui kad kredit, debit dan transaksi perbankan internet.

“Bermula 1 April ini, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan melaksanakan Cashless yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 29 Febuari yang baru lalu” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Semarak @ Muzium Labuan di sini.

Aaron Ago berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai diyakini lebih efisien memandangkan pengguna boleh membuat pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.

“JMM bekerjasama dengan Jabatan Warisan Malaysia (JWM) untuk menambah baik Muzium Labuan supaya boleh diangkat dan diiktiraf sebagai bangunan atau tapak warisan kebangsaan.

“Adalah menjadi hasrat JMM, segala kekurangan kita cuba bantu untuk dapatkan pengiktirafan Muzium Labuan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan,” jelas Aaron Ago.

Menurutnya, dalam masa sama pihaknya tetapi perlu bekerjasama dengan pihak Perbadanan Labuan bagi memastikan setiap projek disalurkan akan memberi manfaat kepada semua masyarakat.

Dalam perkembangan sama, Aaron Ago menyampaikan sijil penghargaan Sumbangan Bakti Muzium Labuan kepada 12 penerima  serta pengamal media.

Ini termasuk kepada mereka yang  banyak menyumbang bakti terhadap Muzium Labuan sekali gus membantu mempromosikan Muzim Labuan kepada dunia luar.