SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan sedang giat melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas harga pakaian dan keperluan sekolah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Azdy Zukkry John berkata ia merupakan inisiatif menerusi OPS CATUT 2024 (Pakaian Sekolah) menjelang sesi persekolahan yang akan bermula pada 11 Mac 2024.

Menurut beliau, berdasarkan statistik penguatkuasaan setakat Isnin semalam, sebanyak 10 premis telah diperiksa di daerah Sandakan membabitkan 13 jenis barangan pakaian dan kasut sekolah.
Katanya, berikutan pemeriksaan yang dijalan, sebanyak 10 Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat awal sama ada berlaku sebarang peningkatan harga bagi barangan yang diperiksa.

“Tindakan ini juga adalah bagi mengesan sekiranya berlaku peningkatan peratus untung bagi jualan barangan terbabit selain mengesan sekiranya terdapat elemen mengambil keuntungan secara tidak munasabah yakni aktiviti mencatut.
“KPDN tidak mengawal harga pakaian dan keperluan sekolah namun pemantauan dan pemeriksaan yang berterusan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan akan terus dijalankan,” katanya di Sandakan.
Menurut Azdy, setakat hari ini, KPDN Cawangan Sandakan tidak ada menerima sebarang aduan yang membabitkan kenaikan harga pakaian sekolah dan alat tulis.
Bagaimanapun, katanya peniaga adalah diingatkan bahawa aktiviti mencatut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.
Jelasnya, KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati mengambil keuntungan secara tidak munasabah dengan mencatut dalam penentuan harga jualan barangan termasuk pakaian dan keperluan sekolah.
Disamping itu, beliau mengingatkan pengguna agar memahami bahawa sebarang perubahan atau peningkatan harga yang berlaku bagi sesuatu barangan adalah disebabkan pelbagai faktor termasuk kenaikan kos operasi seperti bahan mentah, utiliti dan gaji pekerja.
“Justeru, KPDN menyarankan pengguna agar sentiasa bijak dalam berbelanja termasuk ketika membeli pakaian dan keperluan sekolah dengan membuat perbandingan harga. Pengguna juga disarankan untuk menggunakan sepenuhnya hak mereka agar tidak mudah diperdaya dan dimanipulasi oleh segelintir pihak yang ingin mengambil kesempatan di dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini,” jelasnya.