KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) Datuk Juliah Salag bersama ahlinya membungkus kuih muih Hari Raya Aidilfitri untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.
Majlis Pembungkusan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri itu dianjurkan oleh Biro Kebajikan MUTIARA GRS, diadakan di Rumah MUTIARA GRS, Jalan Penampang, hari ini.
MUTIARA GRS menyumbang sebanyak 380 bakul (bag) yang mengandungi kuih muih Hari Raya tradisional dan moden, kurma, serunding, minuman dan lain-lain.
Julia berkata, sumbangan bakul itu bagi mengenang jasa dan pengorbanan para perwira di barisan hadapan yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri.
“Mudah-mudahan dengan sedikit sumbangan kuih muih ini akan menceriakan mereka semasa bertugas dan menjalankan amanah bagi membolehkan rakyat menyambut Aidilfitri”, katanya.
Naib Yang Dipertua II MUTIARA GRS yang juga Pengerusi Biro Kebajikan, Datin Linda Ewit berkata, jumlah bakul kuih muih yang disumbangkan lebih banyak tahun ini berbanding tahun lalu.
“Selain pasukan keselamatan dan petugas kesihatan, tahun ini MUTIARA GRS turut menyumbang kepada pihak Imigresen dan Kastam terutama mereka yang akan bertugas pada 1 Syawal ini.
Menurutnya Juliah akan menyerahkan bakul kuih muih Hari Raya itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang kemudiannya akan menyerahkannya kepada pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan lain-lain yang dijadualkan diadakan pada 4 April depan.