KOTA KINABALU : Pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi sudah dilaksanakan dalam tempoh empat tahun lalu oleh Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) di negeri ini.
Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Juliah Salag, berkata program yang dilaksanakan antaranya ceramah berkaitan kesihatan dan keusahawanan khususnya kepada golongan wanita, selain aktiviti kebajikan dan amal.
Katanya, dalam tempoh empat tahun, pelbagai aktiviti telah dijalankan membabitkan lebih 21 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang kurang berkemampuan.
“Kita juga telah bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah untuk mengadakan pelbagai program antaranya ceramah berkaitan kesihatan dan keusahawanan.
“Justeru, saya berharap kita bukan saja akan terus membantu kebajikan rakyat khususnya golongan wanita di negeri ini,” katanya.
Juliah berkata, ia juga merangkumai cara meningkatkan kemahiran dan menuntut ilmu yang baharu agar tidak ketinggalan dalam arus kemodenan masa.
“Lebih banyak lagi aktiviti akan diadakan pada tahun ini bagi menyantuni lebih ramai rakyat di negeri ini.
“Dalam bulan Ramadan ini, kita akan mengadakan aktiviti pembungkusan kuih raya untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini,” jelas Juliah.
Menurutnya, dalam masa sama, beliau meminta semua ahli-ahli MUTIARA GRS terus lebih aktif turun padang di kawasan masing-masing bagi menyantuni rakyat khususnya yang memerlukan bantuan di kawasan mereka.