KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam pentabiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 dan tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan petang ini.
Katanya, beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan kesihatannya stabil serta dalam keadaan yang baik.
“Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis ketika dihubungi hari ini.
Seramai 31 menteri dan 37 timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 2.30 petang ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan barisan Kabinet beliau.
– BERNAMA