KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Safar Untong berkata, pihaknya akan menukar serta-merta pegawai yang disyaki meminta rasuah berbentuk seks di Keningau, semalam.
Katanya, pertukaran itu sementara menunggu prosiding selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa.
“Kerajaan negeri sangat menitikberatkan integriti dan tatalaku penjawat awam negeri, seperti yang dijelaskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008.
“Sehubungan itu, pegawai yang melanggar sebarang peraturan atau terbabit dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang akan diambil tindakan serta-merta bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Safar berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dalam siasatan ini.
Katanya, kerajaan negeri amat komited dalam menanggani isu-isu seperti ini untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap integriti penjawat awam dan ketelusan penyampaian perkhidmatan jabatan.
Petang tadi, SPRM mengesahkan penahanan seorang ketua jabatan berusia 51 tahun kerana disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita yang meminta surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman pertanian.
SabahNewsToday