KUCHING: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Medan Niaga Satok (MNS) di sini bagi melihat sendiri aktiviti operasi oleh usahawan yang berniaga di kawasan itu.
MNS adalah projek usahasama antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan pihak Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak.
Projek ini menyediakan sebuah pasar yang berkonsep moden, bersih, teratur dan lengkap dengan sistem pengurusan sisa buangan yang terkini.
MNS dibina bertujuan menggantikan Pasar Satok di lokasi Jalan Satok yang makin usang dan tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran, persekitaran yang kotor dan kesesakan lalu lintas.
Kos asas projek adalah sebanyak RM46.6 juta dibina diatas tapak seluas 12.25 ekar di Jalan Matang Petra Jaya, Kuching. MNS menyediakan 995 lot perniagaan di enam komponen utama iaitu di Blok B (Produk Basah), Blok C (Produk Kering), Blok D (Plaza), Blok E (Gerai Makanan/Minuman), Pasar Borong dan Pasar Minggu dengan jumlah peserta seramai 947 orang.
Pada tahun 2021, MNS mencatat nilai jualan sebanyak RM47.8 juta.
MNS telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta dari pihak Kerajaan Negeri Sarawak bagi kerja pembangunan dan naiktaraf seperti kerja pembinaan parking bertingkat, naik taraf di blok B, C dan D.
FAMA telah membangunkan banyak outlet peruncitan yang bertujuan memperkukuh rantaian bekalan serta menambah luangnpasaran jualan langsung komoditi pertanian dan hasil tani terus kepada kepada pengguna khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Melalui outlet-outlet ini rantaian pengedaran dapat dipendekkan selain risiko manipulasi pasaran oleh orang tengah dapat dikurangkan.
Outlet-outlet yang dibangunkan termasuklah dengan kerjasama strategik usahawan peruncitan seperti Rural Transformation Centre (RTC), Pasar Tani Kekal (PTK), Pasar Tani, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS), Motosikal Tiga Roda (M3R), MyFarm Outlet, My Best Buy, Agrobazaar Kedai Rakyat, AgroBazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar KShoppe, dan Agrobazaar Online dan salah satu darinya adalah MNS sendiri.
Secara keseluruhan terdapat 1,037 outlet-outlet ini di seluruh Malaysia.
Pada masa yang sama FAMA turut membangunkan infrastruktur pemasaran seperti Program Rural Transformation Centre (RTC), MyFarm Outlet, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal.
Tambahan lagi pelbagai program dan aktiviti pemasaran serta jualan diadakan di sini seperti program MyRakyat, Jualan Terus dari Ladang sebagai inisiatif membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri akan berterusan bagi memastikan MNS akan terus memainkan peranan yang penting dalam pemasaran agromakanan di Sarawak.