KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, keharmonian dan keselamatan dalam kawasan bandar raya.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata Bandar Raya Kota Kinabalu yang bersih, indah dan ceria akan menarik kehadiran pelancong, sekali gus dapat memperkasakan pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan.
“Amat penting DBKK mewujudkan sebuah bandar raya yang disukai ramai, lebih bersih, harmoni dan menjadikan `KK Bandar Kesukaan Saya’ atau “My Favourite City KK,” katanya ketika melancarkan Program Love KK dan KK Clean-Up Day di Taman Awam Teluk Likas, hari ini.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Datuk Yakubah Khan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Hajiji optimis, dengan sokongan dan penglibatan semua warga bandar raya, Kerajaan akan dapat menambahbaik dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur serta kelestarian hijau di Bandaraya Kota Kinabalu.
“Sudah pasti ini juga akan menyumbang kepada pencapaian Hala Tuju DBKK iaitu ke arah “Kota Kinabalu Sejahtera,” tambahnya.
Katanya, Program Love KK dan KK Clean Up Day merupakan inisiatif DBKK untuk menggalakkan penyertaan warga bandar raya yang berbilang kaum, agama dan peringkat umur dalam aktiviti kemasyarakatan, berbakti dan memberi sumbangan kepada Bandaraya Kota Kinabalu.
“Ini sejajar dengan usaha untuk membentuk dan membangunkan komuniti yang inklusif dalam persekitaran bandar raya berkualiti dan berdaya huni, memupuk semangat perpaduan dan penyertaan komuniti melalui kolaborasi yang efektif, memberi manfaat kepada masyarakat dan kumpulan sosial yang disasarkan dan membantu mencapai pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tegasnya.
Menurutnya, kelestarian hijau juga menjadi intipati dalam komponen KK Hijau (Green KK) yang mementingkan aspek keterkaitan dan kelestarian dalam pembangunan infrastruktur Bandaraya Kota Kinabalu.
Hajiji berkata, teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) khususnya berkaitan dengan pelancongan turut diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai komponen dalam Program Love KK dan KK Clean Up Day iaitu KK bersih, KK Ceria dan KK Indah.
Beliau berkata, program itu juga tidak mengabaikan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat di dalam SMJ, dengan pelaksanaan komponen seperti KK Berdaya Huni, KK Sihat dan KK Warisan yang memfokuskan program peningkatan kualiti kehidupan rakyat serta keselamatan.
Menyentuh beberapa garis panduan berkaitan bandar raya yang dilancarnya, Hajiji yakin ia akan membentu menambahbaik kualiti kehidupan warga bandar raya.
“Kerajaan negeri juga akan terus memberi sokongan kepada setiap program yang dilaksanakan DBKK bagi membangunkan bandar raya ini dalam semua aspek,” kata Hajiji