KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada 20 dan 21 Nov ini disasar menjana perolehan jualan RM25 juta dengan sasaran menarik seramai 20,000 pengunjung.
Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata penganjuran pameran di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu akan diadakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tan berkata pengunjung yang merancang melawat ke pameran itu disaran mengelak daripada membawa kanak-kanak kecil seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan.
“Kami hanya akan membenarkan pelawat yang telah divaksin sepenuhnya memasuki dewan, memakai pelitup muka pada setiap masa dan mematuhi penjarakan fizikal semasa berada di dalam dewan pada setiap masa,” katanya.
Tan berkata pameran itu akan memberi tumpuan mempromosikan Sabah sebagai destinasi kegemaran dan ini adalah kali ketiga Sabah dipilih sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia sempena pameran MATTA selepas dilaksanakan pada Pameran MATTA September 2015 dan Mac 2019.
“Sebagai pavilion terbesar yang mewakili pejabat pelancongan kerajaan negeri Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan 12 gerai pameran sempena MATTA Nov 2021, akan mempromosikan pelbagai produk pelancongan negeri kepada pengunjung termasuk seni warisan dan budaya, lawatan ke pulau-pulau yang indah, selam skuba, meredah hutan, mencerap burung, pengembaraan dan tarikan yang terbaik dan bernilai.
“Ini peluang terbaik buat pengembara untuk bertemu dengan wakil Lembaga Pelancongan Sabah dan ejen pelancongan di Sabah Pavilion untuk mengetahui mengenai tarikan unik dan menarik yang terdapat di Sabah,” katanya dalam sidang media secara maya malam tadi.