KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan bekerjasama dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dalam mempromosi pusat konvensyen tersebut untuk penganjuran mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ini termasuk membantu mempromosi SICC di ekspo pelancongan dunia akan datang di Dubai bulan depan.
Pada Selasa lepas, perwakilan SICC yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Rosmawati Lasuki mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai bagi membincangkan bagaimana mereka boleh bekerjasama menghasilkan perancangan strategik untuk menarik aktiviti MICE ke Sabah, antara lain.
Joniston berkata, inisiatif kerjasama seumpama ini perlu kerana STB dan SICC saling melengkapi.
“Kita harus mula merancang secara strategik. Malah, kita ada rancangan untuk mengadakan persidangan pelancongan luar bandar antarabangsa. Memandangkan Sabah adalah perintis untuk pelancongan berasaskan komuniti luar bandar, kita boleh memanfaatkannya dan mengadakan persidangan di sini.
“Oleh itu, kita boleh mula memikirkan acara-acara yang boleh kita anjurkan agar dapat membawa pemain MICE ke negeri ini dan seterusnya mempromosikan SICC. Inisiatif ini harus bermula dari kita,” katanya.
Tambahnya, SICC mempunyai kelebihan dalam mempromosikan tempatnya untuk MICE dan perhimpunan sosial lain seperti perkahwinan kerana rekabentuk bangunannya yang unik serta lokasinya yang strategik menghadap laut dan berhampiran dengan pusat bandar.
Keperluan untuk menubuhkan Biro Konvensyen Negeri turut dibincangkan dalam perjumpaan itu, dengan matlamat untuk memasarkan Sabah sebagai destinasi untuk mesyuarat, persidangan dan acara perniagaan, antara lain.