Matlamat kekalkan ‘Semporna’ penyumbang utama graduan di Sabah – Mohd Syam Muksan

KOTA KINABALU: Matlamat mengekalkan ‘Semporna sebagai penyumbang utama graduan di Sabah’ merupakan sasaran Calon Ketua Bahagian UMNO Semporna.

Menurutnya, berbekalkan pengalaman sebagai pesara  guru, pernah bertugas sebagai Penolong Kanan dan

Exco Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan serta Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Sabah merupakan sasaran tepat untuk mengekalkan matlamat tersebut.

“Pertama kita mengenalpasti jumlah graduan yang masih belum mempunyai bidang pekerjaan. Kita akan rekodkan bidang graduan ini agar dapat dibantu dalam sektor pelancongan, perikanan serta penternakan rumpai laut di Semporna.

“Kita perlukan golongan graduan ini untuk kembali bekerja serta berkhidmat di daerah Semporna mewujudkan nilai kepada produk sedia ada ini agar dapat dipasarkan di peringkat global.

“Mereka (Graduan) ini mempunyai ilmu kepakaran serta terdedah kepada bidang teknologi matlumat untuk membolehkan graduan ini membantu meningkatkan hasil pendapatan keluarga sekali gus ekonomi di daerah Semporna,” katanya di sini hari ini.

Mohd Syam berkata, beliau juga mengalu-alukan golongan akademik yang berkhidmat di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk menyumbang tenaga serta idea untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Kita yakin ramai tenaga pensyarah yang berkhidmat di beberapa Universiti di negara ini untuk menyahut cabaran ini bagi bersama-sama mencapai hasrat membolehkan graduan ini memperoleh bidang pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Syam merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS) mengendalikan banyak program kesenian terutama program secara tahunan Regatta Lepa Negeri Sabah sehingga ke peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Jakarta Indonesia.

“Kita yakin melalui pengalaman saya terlibat dalam NGO ia akan memberi sedikit sebanyak peluang untuk membantu graduan di Semporna dalam memperoleh bidang pekerjaan di masa depan,” katanya