Masyarakat Islam di Tawau Digerakkan untuk Mengamalkan Ajaran Agama – Nizam

TAWAU : Masyarakat Islam di Tawau diseru untuk mengamalkan cara hidup yang berlandaskan ajaran Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Seruan ini disampaikan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, dalam majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul SAW peringkat  Tawau.

“Saya ingin menekankan bahawa Islam adalah lebih daripada sekadar kepercayaan dan ia merupakan panduan lengkap dalam semua aspek kehidupan, termasuk pengurusan negara dan ekonomi.

“Kita percaya bahawa dengan mengikuti jejak langkah Rasulullah, umat Islam dapat mencapai kejayaan dalam pelbagai usaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul SAW peringkat Tawau, di sini hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau mengharapkan masyarakat pelbagai kaum di Tawau terus mengamalkan ajaran agama yang sahih dan menghindari pemahaman yang sesat.

“Kita menekankan berapa pentingnya perpaduan serta penghormatan antara kaum di Sabah,” kata Nizam.

Marsus Wahid, diumumkan sebagai penerima Tokoh Maulidur Rasul peringkat Tawau, atas sumbangannya dalam usaha dakwah di daerah ini.

Majlis diwarnai dengan ceramah dan persembahan daripada pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Derry Sulaiman.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui serta Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Aris Heru Utomo.

Lebih 10,000 umat Islam serta 67 pasukan dalam perarakan, walaupun cuaca hujan pada hari ini.