Masalah Air Di UMS, Jangan Salahkan Pihak Yang Tidak Terlibat – Muammar

TAMPARULI : Masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak seharusnya dijadikan modal untuk menyalahkan Kerajaan Negeri Sabah atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi berkata, semua pihak perlu memahami fakta sebenar sebelum membuat sebarang tuduhan yang boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, ini sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap pihak yang tidak terlibat.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi menangani isu bekalan air di UMS disalurkan terus kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada pihak pengurusan universiti.

“Segala urusan pelaksanaan projek termasuk proses tender dan pelantikan kontraktor adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab UMS sendiri, bukan agensi atau jabatan di bawah Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muammar berkata, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sendiri telah mengesahkan perkara ini dalam kenyataan media rasmi beliau bertarikh 9 Januari lalu.

“Maka jelas, tiada penglibatan langsung Kerajaan Negeri dalam hal ini, sama ada dari segi pentadbiran mahupun kewangan.

“Kita turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba memanipulasi isu ini untuk meraih keuntungan politik sempit dengan menyebarkan maklumat tidak tepat kepada rakyat,” jelas Muammar.

Menurutnya, tuduhan seumpama ini bukan sahaja tidak adil, malah menggambarkan salah faham terhadap struktur tadbir urus antara Kerajaan Persekutuan dan institusi pengajian tinggi awam.

“Tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha mencari penyelesaian dan memastikan kebajikan pelajar serta warga kampus terus terpelihara.

“UMS merupakan institusi pengajian tinggi awam yang mempunyai autonomi dalam pelbagai aspek termasuk pengurusan projek dalaman,” katanya.