KOTA KINABALU : Kutipan cukai harus ditangguhkan di Sabah sehingga negeri itu menerima peruntukan penuh hasil bersih bersama.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee berkata, Sabah masih tidak mendapat bahagian hasil yang diperuntukkan bawah Perlembagaan.
Katanya, geran khas RM600 juta daripada Putrajaya tahun ini, walaupun meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya, merupakan ‘angka yang dipetik entah dari mana’.
“Kami menyeru kerajaan persekutuan untuk menghormati hak 40% tanpa berlengah lagi.
“Sehingga itu, penguatkuasaan cukai di wilayah ini harus dinilai semula, dijeda jika perlu, dan berpandukan perundingan dengan kerajaan Sabah dan organisasi perniagaan Sabah,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Yong merupakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu juga mempersoalkan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenal pasti pembayar cukai tidak aktif di Sabah, yang menurutnya bukanlah pengelak cukai utama.
Katanya, langkah menguatkuasakan pematuhan cukai ke atas peniaga-peniaga yang ‘sudah pun bergelut dengan peningkatan kos, pemotongan subsidi dan penurunan kuasa beli’ hanya akan memburukkan lagi kelemahan ekonomi dan merosakkan daya tahan ekonomi tempatan.
“DBKK harus berhenti menyelaraskan dengan penguatkuasaan LHDN persekutuan manakala berbilion-bilion hutang kepada wilayah ini masih belum dibayar.
“DBKK harus berhenti memainkan peranan sebagai pemungut cukai persekutuan untuk memburu pembayar cukai yang tidak aktif,” katanya.
Yong berkata, LHDN baru-baru ini mengumumkan telah mengutip RM5.7 bilion cukai dari Sabah tahun lepas, dan berharap dapat mengutip RM6.2 bilion pada tahun ini.
Katanya, jumlah itu bersamaan dengan purata RM6 bilion cukai dikutip dalam setahun, dengan 40% daripadanya bersamaan jumlah RM2.4 bilion.
“Tiada sebab langsung untuk kerajaan persekutuan menangguhkan pembayaran tahunan sekurang-kurangnya RM2 bilion kepada kerajaan Sabah,” katanya.
Menurutnya, formula perkongsian hasil ini telah berdekad-dekad dipertikaikan.
“Ahli politik Sabah selama ini menggesa kerajaan persekutuan agar menghormati hak Sabah ke atas 40% daripada jumlah melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.
“Formula ini tidak lagi digunakan sejak 1974, dengan kerajaan persekutuan membayar geran khas dengan jumlah yang meningkat kepada Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata, Sabah Law Society dibenar memulakan semakan kehakiman terhadap hak hasil negeri itu. Kes itu akan didengar pada 7 Julai.