Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pasport antarabangsanya dikembali secara kekal, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan pasport itu untuk diserahkan sementara bagi membolehkan Ahmad Zahid membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.

Hakim membuat keputusan itu selepas menekankan Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa atau golongan masyarakat yang boleh diberi keistimewaan serta melangkaui undang-undang.

“Jaminan diberikan kepada Ahmad Zahid dengan syarat pasport diserahkan mengikut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, mahkamah mengambil kira tertuduh (Ahmad Zahid) kini Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai tugasan rasmi tetapi tidak boleh pada hari sama dalam prosiding mahkamah yang perlu dihadirinya.

“Mahkamah ada fungsi untuk dilaksanakan dan benarkan tertuduh untuk mendapatkan kembali sementara dokumen (pasport antarabangsa) untuk membuat pasport diplomatik.

“Saya setuju dengan pendakwaan bahawa Ahmad Zahid perlu kembalikannya kepada mahkamah selepas selesai buat pasport diplomatik,” katanya.