LKTNS agih RM21.3 juta, lebih 2,100 peneroka Sabah terima manfaat

KOTA KINABALU:  Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) mengagihkan pendapatan dan dividen berjumlah RM21.3 juta kepada 2,119 peneroka dan peserta di seluruh Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Pengurus Besarnya, Datuk Syaheddrul R Joddari berkata agihan itu dicapai walaupun industri minyak sawit berdepan ketidaktentuan pasaran sepanjang tempoh 2024 hingga 2025.

“Dalam suasana ekonomi yang mencabar, LKTNS kekal berdisiplin dari segi pengurusan kewangan dan pelaksanaan strategi pembangunan mampan demi memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Pendapatan dan Dividen Peneroka LKTNS 2025 yang disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untung, serta pengurusan kanan LKTNS.

Menurut Syaheddrul, peningkatan agihan itu selari dengan agenda kerajaan negeri dan persekutuan untuk membasmi kemiskinan serta memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar, khususnya golongan peneroka.

“Agihan ini membuktikan manfaat pembangunan dapat disalurkan secara inklusif kepada peneroka dan peserta, walaupun ekonomi global dan harga komoditi tidak stabil,” katanya.

Dua wakil peneroka, masing-masing dari Ulu Dusun, Sandakan dan Sungai Manila turut menerima simbolik penyerahan dividen pada majlis tersebut.