LABUAN: Lions Club Mandarin Labuan menganjurkan Program Saringan kesihatan secara percuma kepada warga Labuan sempena dengan Hari Diabetes Sedunia dan Bulan Diabetes Kebangsaan yang diadakan di sini, baru baru ini.
Menurut Presiden Lion Club Mandarin Labuan, Chia Sia Teng, program itu antara lain bertujuan untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai perlunya penjagaan kesihatan disamping membudayakan kehidupan sihat dengan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi menilai dan mengetaui tahap kesihatan diri.
“Kami berharap usaha yang dilakukan ini mampu meningkatkan kesedaran orang awam tentang penyakit diabetes kerana ia merupakan isu kesihatan awam global yang perlu dicegah secara kolektif dan individu,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Selain pemeriksaan kesihatan mengenai diabetes, pihak penganjur juga menyediakan pemeriksaan mata dan pemberian kaca mata secara percuma.
Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Hospital Nukleus Labuan dan Financial Park itu telah dikunjungi lebih 100 pengunjung untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Mohd Zaki bin Abd Hamid dan Naib Presiden I Lion Club Labuan Alden Wong.