Rumah jenis separuh kekal di Kampung Rancangan Sungai Manila musnah dalam kebakaran

SANDAKAN : Sebuah rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Rancangan Sungai Manila, Peringkat 2, Batu 12 di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.51 pagi melalui talian MERS999.

Rumah jenis separuh kekal di Kampung Rancangan Sungai Manila musnah dalam kebakaran

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama empat kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai bomba.

Menurut beliau, laporan kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 70×50 kaki persegi yang terbakar 100%.

Jelasnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran 200 kaki, tiga pancutan dan sumber air dari lori tangki air.

Selain itu, katanya, terdapat tiga buah kenderaan turut bahang kebakaran kira-kira 10 peratus iaitu kenderaan Toyota Prado,
Proton Saga BLM dan Proton Saga LMST.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya berjaya menyelamatkan tiga buah kenderaan lain termasuk sebuah motorsikal daripada terjejas dalam kebakaran itu.

Menurutnya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2 petang.