Budaya 1 orang 4 keahlian parti di Sabah satu budaya songsang harus dihentikan

KOTA KINABALU: Budaya satu orang memiliki empat keahlian parti bukanlah kategori perkara biasa tetapi ianya kategori luar biasa, satu budaya songsang yang harus dihapuskan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kalabakan Muhammad Faizul M. Mustapa berkata selaku anak muda saya terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin senior Sabah itu, bila mana ianya dianggap “biasa” sedangkan perkara itu menunjukkan ketiadaan prinsip dan pendirian bagi seseorang itu.

“Agak memalukan dengan negeri-negeri lain jika pemimpin politik senior Sabah sendiri menganggap ianya hanya perkara biasa. Perkara ini juga boleh mengalakkan seseorang itu bermain banyak ‘kolam’.

“Banyak juga kes berlakunya penipuan, dimana banyak kejadian ahli UMNO tidak mengetahui namanya didaftarkan menjadi ahli parti lain, biasanya didaftarkan kepada parti yang baru ditubuhkan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sudah pasti perkara ini tidak boleh diterima, generasi anak muda politik hari ini harus berubah, anak muda hari ini mestilah mereka yang perprinsip dan berpendirian, jangan mudah ‘terpancing’ dengan tawaran kesenangan jangka masa pendek.

“Kita banyak dengar anak muda disogok dengan jawatan dan projek agar mereka berpaling daripada parti asal mereka.

“Satu revolusi pemikiran politik anak muda Sabah harus dihasilkan, buktikan bahawa kita bukannya anak muda yang mudah disogok agar patuh dan tunduk kepada percaturan politik murahan yang tidak mendatangkan kebaikkan pada kemajuan negeri Sabah,” jelasnya.

Muhammad Faizul berkata tanpa prinsip maka tidak ada beza dengan ahli politik lama Sabah yang terkenal dengan budaya lompat parti hanya kerana mencari kesenangan peribadi.

“Kita tidak mahu mewarisi perkara yang memalukan dan tidak berpendirian ini,” kata beliau lagi.