KOTA KINABALU: Kejayaan pembukaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) lRanau yang kelima di Sabah dan ke 57 di negara ini merupakan salah satu perjuangan UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi memperkasakan Pembangunan modal insan khususnya di negeri ini.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata pembinaan MRSM Ranau telah diluluskan pada tahun 2017 ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan hari ini ianya telah direalisasikan sebagai satu lagi mercu tanda kejayaan, dalam menyediakan prasarana Pendidikan yang berkualiti yang akan memberikan manafaat kepada pelajar khususnya pelajar di negeri ini.
Menurut beliau pengupayaan orang Melayu/Bumiputera adalah melalui Pendidikan dan ini telah dilaksanakan oleh UMNO selama berpuluh-puluh tahun melaui MARA, ITM sekarang UiTM dan lain-lain institusi Pendidikan dibawah MARA.
“Alhamdulillah apa yang diperjuangkan oleh UMNO/BN selama ini bagi mendapatkan sebuah lagi MRSM di Sabah pada hari ini dapat direalisasikan, kita amat berterima kasih atas jasa Kerajaan terdahulu UMNO/BN dan Kerajaan hari ini yang meluluskan peruntukan dan meneruskan pembinaan MRSM di Ranau sebagaimana yang dapat kita lihat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penyerahan MRSM Ranau oleh PETRONAS kepada Kerajaan negeri dan MARA pada Isnin lepas.
Upacara simbolik penyerahan itu berlangsung di sini disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, mewakili Ketua Menteri diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik serta Pengerusi MARA Datuk Wira Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Suhaimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran majlis tersebut menandakan detik bersejarah dalam pembangunan kampus itu yang bakal meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti di kalangan pelajar negeri ini.
Katanya pertambahan pembukaan MRSM di daerah Ranau membuktikan agenda menjana sektor Pendidikan yang diperjuangkan oleh UMNO /BN sebelum ini adalah bersifat pro rakyat dan yakin usaha-usaha ini akan diteruskan oleh kerajaan hari ini.
“Kita berharap agenda memperkasakan mutu serta kemudahan pendidikan di negeri ini akan teruskan diperkasakan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri memandangkan prasarana pendidikan terutamanya di kawasan luar banar di negeri ini masih agak jauh ketinggalan berbanding negeri lain,” katanya.
Menurut Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran kemudahan-kemudahan asas seperti bangunan sekolah, rumah guru dan sebagainya perlu diberikan perhatian dan keutamaan oleh kerajaan agar pada masa akan datang tidak ada lagi kedengaran guru-guru yang terpaksa tinggal di dalam stor sekolah yang dijadikan tempat tinggal.
“Kerajaan negeri juga perlu cakna kepada keperluan prasarana pendidikan di negeri ini tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan dari Kerajaan pusat selaras dengan gagasan “ Sabah Maju Jaya” yang sudah tentu tidak meminggirkan kepentingan Pembangunan modal insan,” tambah Suhaimi.
Kampus MRSM Ranau, yang dibangunkan oleh PETRONAS dengan kos berjumlah RM132 juta, merupakan hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan MARA dan bakal beroperasi mulai Mac 2024, sekali gus menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti di kalangan pelajar di Sabah serta merangsang minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Suhaimi menambah dengan siapnya MRSM di daerah Ranau ini bakal mewujudkan dimensi baharu pendidikan luar bandar yang akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk Sabah, khususnya di sekitar daerah Ranau.
“Semoga usaha membangunkan institusi pendidikan menengah yang terbaharu ini di negeri ini akan mengukuh serta memantapkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar, sekaligus menjadi penyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah,” katanya.