KOTA KINABALU: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila ditemui tidak sedarkan diri selepas terkunci di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berhampiran Bumi Kekal Kepayan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.49 petang itu, mangsa berusia 37 tahun dipercayai berada bersendirian di dalam kenderaan sebelum orang awam menghubungi pihak bomba.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati tidak sedarkan diri dalam kenderaan yang berkunci.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Linda Eslao Wagis itu tamat sepenuhnya pada jam 3.11 petang.
