Lelaki maut kereta langgar tiang telekom, papan tanda jalan

KOTA KINABALU : Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya jenis Toyota Vios terbabas sendiri kemudiannya melanggar tiang Telekom serta papan tanda di Jalan Pintas Bulatan Kampung Kopungit, di sini tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) I Ordine Gilu berkata, mangsa berusia 27 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mangsa berkenaan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.26 tengah malam tadi berkaitan kejadian tersebut kemudiannya bergegas  sampai ke lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.

“Pihak kami mendapati terdapat seorang mangsa didalam kereta terbabit bagamanapun berjaya dikeluarkan pihak bomba dengan menggunakan peralatan khas (Rescue Tools),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ordine berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama 13 anggota diketuai Komander Operasi Masri Gari berjaya mengeluarkan mangsa kemudiannya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan keadaan persekitaran selamat, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 1.20 pagi tadi,” jelas Ordine.