Lebuhraya PAN Borneo, Pemuda PAS Sabah berharap dapat siap mengikut perancangan asal

SANDAKAN: Projek Lebuhraya PAN Borneo yang sedang berjalan sekarang ini melibatkan beberapa daerah utama di pantai barat Sabah. Menerusi pelaksanaan Fasa 1 ini hampir 62 peratus telah selesai setakat Oktober 2021, seperti yang telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup baru-baru ini.

Projek Lebuhraya Pan Borneo ini, membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membangunkan infrastruktur jalan raya yang terancang dan efisien buat rakyat Sabah.

Melihat kepada perkembangan yang sangat positif ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melahirkan harapan agar projek ini dapat di siapkan mengikut garis panduan dan perancangan yang telah di tetapkan.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah menyatakan bahawa untuk memastikan kelancaran projek pembinaan Lebuhraya PAN Borneo ini, sangat memerlukan kerjasama dan komitmen dari semua pihak yang terlibat.

Khususnya daripada agensi kerajaan yang berkaitan agar sentiasa memantau dan menyelia perkembangan pelaksanaan projek ini, ulasnya lagi.

Katanya lagi, kontraktor pelaksana yang di lantik perlu menjalankan kerja- kerja pembinaan mengikut garis panduan yang telah di tetapkan. SOP keselamatan pengguna jalanraya juga mesti dititikberatkan seperti papan tanda ingatan kepada pengguna jalanraya supaya membawa kenderaan dengan had laju yang selamat ketika melalui jalanraya yang dalam pembinaan.

Hendri berkata,  SOP keselamatan ini di jalankan bagi melicinkan pelaksanaan naiktaraf jalanraya disamping menjaga keselamatan dan keselesaan penduduk setempat yang menggunakan jalanraya, serta penjagaan alam sekitar turut dititikberatkan.

Jelasnya lagi, kenyataan ini dibuat berdasarkan banyaknya aduan dan rungutan daripada masyarakat setempat, akibat sering berlakunya banjir kilat, kualiti jalan alternatif yang tidak memuaskan.

Ini termasuklah jalanraya berhabuk dan berlubang malah mengakibatkan kesan sampingan kepada pengguna jalanraya apabila terpaksa menampung kos tambahan membaiki kerosakan kenderaan, mencuci kenderaan yang terlaku kotor serta ketidakselesaan kerana kawasan yang terlalu berhabuk dan banjir kerana sistem saliran yang turut terjejas.

Katanya, besarlah harapan Pemuda PAS Sabah agar semua pihak dapat memainkan peranan serta memberikan kerjasama sebaik mungkin untuk memastikan proses pelaksanaan pembinaan lebuhraya PAN Borneo ini berjalan lancar seterusnya memberikan impak positif khususnya kepada rakyat dan negeri Sabah.