Lebih 2,000 Rumah Dinaiki Air, 22 PPS Dibuka di Paitan dan Sugut

PAITAN: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi SabahJames Ratib berkata, banjir yang melanda kawasan Paitan dan Sugut antara yang terbesar pernah direkodkan setakat ini.

Menurut beliau, sebanyak 87 kampung terjejas melibatkan lebih 2,000 rumah yang dinaiki air.

“Setakat ini, 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan kira-kira 700 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sebahagian besar kampung turut terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun jaringan komunikasi, sekali gus menyukarkan urusan pemantauan dan penyampaian bantuan.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Sabah Net Sdn Bhd untuk menyelaras pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung-kampung yang terputus jaringan komunikasi bagi memastikan penduduk dapat terus berhubung dengan pihak berkuasa serta ahli keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, pihaknya turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa ke PPS selain mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan terjejas.

“Saya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan cepat, cekap dan berkesan demi keselamatan serta kebajikan rakyat,” katanya.