LABUAN: Lebih 1,000 umat Islam menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul di Dataran Labuan pada Sabtu lalu.
Majlis perasmian sambutan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Hadir sama pada majlis yang bermula jam 7.30 pagi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan Sharidah Zainal Abidin.
Sebanyak 68 kontinjen yang membabitkan wakil daripada agensi kerajaan, kampung, swasta dan NGO, sekolah menengah dan rendah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta Badan Beruniform menyertai perarakan sejauh 2.5 kilometer.
Sementara itu, Kontinjen Perbadanan Labuan dan Kampung Pohon Batu muncul johan bagi kategori agensi kerajaan dan kampung sekali gusmenerima hadiah berupa wang tunai dan sijil.
Kedua dua kontinjen berkenaan masing-masing merangkul dua kategori iaitu perarakan dan sepanduk.
Selain mengekalkan johan perarakan Sembilan kali, kontinjen Kampung Pohon Batu yang diketuai oleh Haryadi Omar, pasukan itu juga meraih kontinjen Terbaik untuk menerima hadiah RM1,000.
Kontinjen Paling Ramai dimenangi oleh Patau-Patau Dua.
Sementara itu, kontinjen Jabatan Kastam Di Raja (KDRM) dan Majlis Belia Labuan (MBL) masing masing johan sepanduk kategori Jabatan Kerajaan dan Swasta dan NGO.
Bagi kategori sekolah menengah dan IPT, johan sepanduk dimenangi oleh UMSKAL, manakala bagi kategori Sekolah Rendah/Sekolah Rendah Agama (SRA) johan dimenangi oleh KAFA Zon 3.
Sambutan yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat Islam itu turut menjayakan kempen memperjuangkan hak kebebasan Palestin.