TAWAU: Masyarakat luar bandar digalak menyertai program pemeriksaan awal penyakit kanser sekali gus menjadikan rutin tahunan bagi mengelak dijangkiti penyakit ini di masa depan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, statistik menunjukkan penyakit kanser merupakan pembunuh nombor tiga di Malaysia serta tidak boleh dipandang ringan dalam kalangan masyarakat.
![](https://sabahnewstoday.net/wp-content/uploads/2023/10/IMG_2034-300x225.jpeg)
Katanya, peluang ini harus digunakan terutama kepada golongan wanita agar pemeriksaan ini dapat mencegah serta mengenalpasti penyakit kanser sekiranya dikesan lebih awal.
“Kita mengesa agar wanita memberi perhatian kepada langkah pencegahan serta pemeriksaan terhadap penyakit kanser payudara serta rahim yang kini sangat popular dalam kalangan mereka.
“Apabila lewat mendapatkan pemeriksaan serta rawatan kemungkinan mereka berpotensi menghidap penyakit ini selepas lewat dikesan oleh pihak hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Kanser di Kampung Sungai Gading, di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau memuji Inisiatif Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) menjalankan Program Kesedaran Kanser untuk memberi khidmat rawatan serta pemeriksaan kepada masyarakat di kawasan luar bandar.
“Program ini juga disertai oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan dan Hospital Tawau dijalankan secara percuma dilihat sangat membantu khususnya kepada masyarakat yang kurang berkemampuan terutama di kawasan luar bandar.
“Ini masanya, penduduk luar bandar mengambil peluang untuk mendapatkan pemeriksaan serta mengetahui cara dan langkah pencegahan awal penyakit kanser dalam kalangan mereka,” katanya.