KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa untuk mencapai kemakmuran negara, adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat untuk mengutamakan kepentingan negara dan awam berbanding komitmen parti.
Beliau berkata wakil rakyat mempunyai pilihan untuk bertukar parti atas sebab peribadi atau perbezaan pendapat.
“Wakil rakyat mungkin cuba mencari justifikasi untuk menunjukkan bahawa mereka bertindak semata-mata untuk kepentingan negara dan awam.
Apa yang mereka fikir dan percaya adalah tidak penting. Apa yang difikirkan oleh orang ramai adalah penting, kerana
akhirnya akan menjadi “hakim” terhadap tindakan wakil rakyat yang membabitkan kepentingan mereka. Mereka adalah orang awam yang mengundi,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Salleh berkata penyokong kuat harus lebih berhati-hati dalam penjenamaan atau pelabelan wakil rakyat yang memilih untuk meletakkan kepentingan nasional dan awam mengatasi komitmen parti.
“Selalunya, mereka cuba melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat. Jika kita mahu negara ini maju, kita semua mesti memikirkan apa yang baik untuk negara lebih daripada kepentingan kita sendiri. Kita harus berfikiran terbuka,” katanya.
“Bagaimanapun, kita masih perlu bersabar dengan ahli politik yang masih percaya bahawa kepentingan parti mereka diutamakan dan mengatasi kepentingan negara dan awam.
“Masing-masing berhak untuk mempunyai pandangan dan pendapat masing-masing. Kami bukan hakim muktamad tindakan dan niat kami, tetapi orang ramai yang mengundi memerhati. Mereka lah yang akan membuat keputusan di peti undi,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata wakil rakyat perlu bertindak secara bebas ketika menunaikan tanggungjawab mereka.
“Sepatutnya mereka boleh menentukan pendirian sendiri jika mengetahui pemimpin parti mereka mendahulukan kepentingan diri atau parti yang merugikan kepentingan negara dan awam.
“Mereka mempunyai kewajipan kepada pengundi yang memilih mereka dan juga kepada negara. Mereka bukan sahaja perlu memikirkan pilihan raya akan datang tetapi juga generasi akan datang,” kata Salleh.