LDP bidas tindakan kotor pembangkang – Chin

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying mengutuk tindakan pembangkang dan pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, rakaman bertajuk ‘Langkah Billiard & Biawak Episode 6’ yang tular di media sosial berniat jahat untuk menjejaskan imej kerajaan GRS dan Ketua Menteri Sabah.

“Tindakan ini adalah tuduhan bermotifkan politik dan tidak berasas yang menyasarkan kerajaan GRS, terutamanya Ketua Menteri.

“Tuduhan ini mempunyai naratif yang mengelirukan yang jelas merupakan usaha untuk menjejaskan kestabilan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa rakaman yang dibuat sebelum ini telah diubahsuai dan tidak boleh dijadikan bukti.

Menurutnya, tuduhan terbaru dari pihak pembangkang ini tidak lebih daripada langkah politik yang terdesak untuk mengelirukan rakyat dan mencemarkan reputasi kerajaan GRS.

“Pemberi maklumat itu memilih untuk menyebarkan dakwaannya di media daripada mengikuti prosedur undang-undang yang betul.

“Jika beliau benar-benar mempunyai bukti kukuh, mengapa tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa? Jawapannya mudah…kerana beliau tahu dakwaannya tidak mempunyai asas di mahkamah,” katanya.

Chin menasihati pihak pembangkang agar tidak meneruskan usaha memanipulasi pendapat awam, cuba menipu orang ramai dengan tuduhan yang tidak berasas.

“Rakyat Sabah jangan terpengaruh dengan taktik penipuan ini,” katanya.

Katanya, kini adalah masa yang penting untuk memulihkan ekonomi negeri.

Beliau berkata, kerajaan GRS sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti, melaksanakan reformasi penting untuk memastikan sumber Sabah diuruskan dengan baik dan tidak dimonopoli oleh segelintir pihak.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui kebenaran, bukan tuduhan yang tidak berasas yang bertujuan mencipta kekacauan dan menarik sokongan politik melalui skandal palsu,” katanya.

Chin menegaskan LDP dengan tegas menyokong Ketua Menteri dan kerajaan GRS untuk terus mentadbir negeri