KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan Sepanggar, Azhar Matussin menafikan laporan Facebook hari ini kononnya Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman keluar meninggalkan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Menurut Azhar, setakat ini beliau (Mohd Azis Jamman) masih kekal berjuang bersama pucuk pimpinan Warisan yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

“Laporan yang ditularkan dalam laman sosial tersebut hanya bersifat fitnah serta berniat jahat terhadap Ahli Parlimen Sepanggar dengan sengaja membuat provokasi untuk mengelirukan ahli Warisan.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa laporan itu adalah palsu. Mohd Azis Jamman masih menjadi wakil rakyat di bawah payung Parti WARISAN Sabah… dakwaan itu hanya berbentuk propaganda politik sahaja.
“Kami kekal memilih untuk membela rakyat sesuai dengan kapasiti pembangkang untuk terus menyuarakan hak rakyat dengan sebaik mungkin sekali gus membantu Presiden PWS memantapkan ahli di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, beliau yakin Ahli Parlimen Sepanggar kekal dengan pendiriannya untuk terus kekal bersama-sama WARISAN serta tidak akan bertindak sedemikian rupa.
“Malah, dakwaan Mohd Azis Jamman akan keluar parti dalam tempoh terdekat seperti yang dilaporkan dalam laman sosial Facebook tersebut adalah palsu sekali gus berniat jahat,” katanya.