Labuan terima RM50 juta perbelanjaan peruntukan mengurus tahun 2025 – Hui Ying

LABUAN : Kerajaan Persekutuan memperuntukan sejumlah RM50 juta perbelajaan untuk mengurus (OE) bagi Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah peruntukan itu kekal sekali gus sama seperti mana perbelanjaan bagi mengurus tahun 2024.

Katanya, dalam tempoh sama kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM32.917 juta bagi melaksanakan tujuh projek pembangunan di Labuan.

“Antaranya, menaik taraf Jambatan Patau-Patau, Pembinaan Sel Pelupus Sisa Sanitari serta Pembinaan Loji Rawatan Air Laut Serap dikenal pasti akan dilaksanakan pada tahun depan.

“Walaupun tiada tambahan untuk perbelajaan mengurus (OE), tetapi terdapat peruntukan untuk Wilayah Persekutuan Labuan projek pembangunan di wilayah ini,” katanya di sini semalam.

Ketika berucap merasmikan  Karnival Kewangan Madani peringkat Labuan di Ujana Kewangan Hui Ying berkata, karnival ini mampu mendidik orang ramai untuk mengenal pasti peranan serta fungsi setiap agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

“Karnival dua hari itu menyediakan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat Labuan melibatkan lebih 10 agensi dan jabatan di bawah Kementerian Kewangan.

“Kita juga mengadakan ceramah celik kewangan disampaikan pakar kewangan agensi kerajaan termasuk Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jelas Hui Ying.

Menurutnya, selain itu Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Perkhidmatan Pendaftar Syarikat oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM).