Agensi kerajaan bersama NGO perluaskan program kebersihan di daerah Tawau – Nizam

TAWAU : Agensi kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan agar terlibat dalam pelbagai program kebersihan melibatkan kawasan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Pembantu Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini kerana tanggungjawab menjaga aspek kebersihan di Tawau bukan hanya terletak kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kontraktor pembersihan.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi memastikan daerah Tawau ini sentiasa bersih, indah sekali gus bebas daripada masalah sampah.

“Saya memuji inisiatif Program Rakan Lestari diselia Kementeriaan Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) terhadap menjaga aspek kebersihan serta memulihara keadaan alam sekitar.

“Program kesukarelaan bersama Rakan Lestari ini sangat perlu diteruskan pada masa depan bagi memastikan persekitaran Tawau bersih sekali gus bebas daripada masalah sampah,” katanya di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, setiap warga Tawau perlu mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan contoh baik termasuk mengutamakan amalan kebersihan membabitkan semua kawasan perbandaran serta taman-taman awam.

“Masalah kebersihan awam sudah berakar umbi di negara ini memerlukan kerjasama semua pihak agar mengutamakan  menjaga alam sekitar.

“Oleh itu program melestarikan alam sekitar ini perlu diperluaskan ke kawasan seliaan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) termasuk di taman perumahan di kawasan bandar,” jelas Nizam.