KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari bersedia serta komited bekerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa sekiranya diperlukan.
Menurutnya, ini susulan rakaman videonya ditularkan beberapa hari lalu bagi menjelaskan perbualannya dalam rakaman yang disunting sekali gus disebar mempunyai niat jahat.
“Ia hanya dilakukan secara berseloroh serta bukan dalam konteks serius.
“Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas, dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.
“”Adalah tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Arsad berkata, ia adalah komunikasi bersifat ringan, yang kini dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadapnya.
“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat.
“Saya juga ingin memperjelas bahawa saya menghormati kedudukan serta budi bicara Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” jelas Mohd Arsad.
Mwnurutnya, tuduhan bahawa beliau menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya “dihalang” adalah tidak benar dan sengaja diputarbelit.
“Begitu juga dakwaan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu, dan Labuk dalam perbualan itu.
“Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi,” kata Mohd Arsad.
Beliau mengarahkan peguamnya untuk meneliti segala tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang masih menyebarkan maklumat yang salah berkenaan.
“Ini termasuk memutarbelitkan kenyataan saya….Laporan polis juga telah dibuat bagi tindakan selanjutnya.
“Saya menggesa media dan semua pihak agar bersikap objektif dan adil dalam melaporkan isu ini. Berikan ruang kepada proses undang-undang dan tidak menjatuhkan sebarang hukuman atau kesimpulan yang boleh mengelirukan masyarakat,” tambah Mohd Arsad.
