PENAMPANG : Dua komponen utama pembangunan sistem pangkalan data bersepadu serta dokumentasi etnik, diberi penekanan dalam Fasa kedua Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah 2024-2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, fasa pertama projek ini bermula pada tahun 2021 hingga 2023 sekali gus mengumpulkan 16 kajian melibatkan pelbagai etnik di seluruh Sabah.
Katanya, projek ini antara dilaksanakan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam usaha memastikan data dan dokumentasi membabitkan kepelbagaian etnik di Sabah terus terpelihara.
“Antara etnik itu termasuk etnik Dusun Gana, etnik Mangka’ak, etnik Sungai Milian, etnik Murut Timugon, etnik Okolod, etnik Turavid, etnik Kadazan Papar, etnik Kalabuan dan etnik Bonggi.
“Saya berharap usaha ini akan mencapai matlamat kita khususnya untuk mengenali etnik-etnik ini dan budaya mereka,” katanya.
Teksnya disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Menurutnya, usaha ini sudah pasti membantu untuk memelihara serta memulihara budaya etnik-etnik yang ada di negeri ini.
“Saya juga dimaklumkan pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah melakukan dokumentasi etnik dan budaya secara berterusan sebelum ini iaitu sejak tahun 2008.
“Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi juga lebih daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik yang hidup harmoni di Sabah,” jelas Hajiji.
Katanya, setiap etnik menyumbang kepada keunikan budaya, adat resam, dan tradisi yang memperkayakan identiti negeri.
“Sempena sambutan Hari Etnik ini, kita meraikan kekayaan dan kepelbagaian etnik yang menjadi identiti unik negeri Sabah.
“Kita berharap segala ilmu baharu diperoleh akan diaplikasikan di peringkat akar umbi khususnya persatuan dan komuniti demi kelestarian budaya dan memajukan lagi industri pelancongan di negeri Sabah,” katanya.
Majlis dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.