KPDN rampas hampir 8,000 liter petrol di Semporna

SEMPORNA: Sebanyak 7,850 liter minyak petrol disyaki diseleweng dirampas dalam Ops Tiris 4.0 Bersepadu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Mesra, di sini.

Rampasan membabitkan 314 jeriken berisi petrol itu diserahkan Pasukan Polis Marin kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas dua bot laju dan dua enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM63,208.60.

KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pihak KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan.