KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 132 warga asing dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sandakan.
Operasi melibatkan Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dilaksanakan bagi mengesan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Di Lahad Datu, seramai 52 warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 81 individu. Tangkapan melibatkan warga Filipina termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu di Kota Kinabalu, tujuh warga asing ditahan hasil pemeriksaan ke atas 67 individu dalam operasi penguatkuasaan dijalankan.
Di Sandakan pula, seramai 73 warga asing ditahan selepas pemeriksaan terhadap 147 individu.
JIM Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara terus dipelihara.
