PUTATAN: Gerakan koperasi boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan isi rumah B40 bagi menangani peningkatan kos sara hidup di negeri ini.
Koperasi juga disifatkan sebagai satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada ahli dan masyarakat secara amnya.
Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamaed, kepentingan dan peranan yang telah dimainkan koperasi amat signifikan terutama dalam peningkatan kos sara hidup mendadak masa kini.
Katanya, koperasi juga membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.
“Kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi satu gaya hidup yang mampu menyumbang kepada kemakmuran sosioekonomi negara justeru koperasi perlu ada ketelusan untuk membangunkan dan membantu ahli ahli terutamanya dalam meningkatkan taraf siso ekonomi mereka,” katanya.
Jeffery merupakan Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah berharap Gerakan koperasi di seluruh negara perlu merebut peluang dengan kekuatan koperasi yang ada untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
“Koperasi perlu mengambil pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya
Jeffery berkata, kekuatan jelas dengan bilangan koperasi dengan keahlian yang sebegitu ramai di seluruh Malaysi yang seharusnya digunakan untuk menggalakkan koperasi menceburi perniagaan untuk menyumbang kepada negara dalam membangunkan ekonomi rakyat.
Jeffesry berkata, kerajaan menyasarkan perolehan (turnover) sebanyak RM60 bilion bagi koperasi di seluruh negara dalam masa lima tahun akan datang dan bagi mencapai sasaran itu, semua koperasi perlu mengambil bahagian dan menceburi bidang perniagaan yang berimpak tinggi.
“Perniagaan koperasi kini bukan lagi mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan atau mengeluarkan kerepek. Kita kena pergi dalam industri yang besar seperti sektor kewangan, e-perdagangan dan sebagainya.
“Koperasi juga dicadang melihat sektor makanan dan bidang pertanian serta ternakan secara komersil. Di Sabah masih banyak kawasan yang masih belum diterokai,” katanya.
Di samping itu katanya, koperasi juga digalakkan terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan bagi mengurangkan penguasaan pihak tertentu dalam sektor tersebut.
“Kita lihat masalah yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini ialah masalah barang pengguna yang terlalu mahal. Ini berlaku kerana sektor pemborongan dan peruncitan dipengaruhi oleh karte-kartel yang ada,” katanya.