LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 2 Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 77 tahun yang memandu pikap jenis Toyota Land Cruiser meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan mendapati lori jenis Hino yang datang dari arah Tawau ke Felda Sahabat manakala pikap dari arah Jalan Segama menuju ke pusat bandar.
Katanya, lori dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 33 tahun dipercayai memandu dalam keadaan laju dan melanggar lampu isyarat merah.
“Lori itu hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pikap dipandu lelaki warga emas.
“Akibat kejadian itu, pemandu pikap parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Rohan Shah berkata, pemandu dan penumpang lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu melanggar bahagian tepi pikap sebelah kanan pemandu.
“Semua pemandu tidak disyaki dipengaruhi dadah atau alkohol namun sampel darah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia di Kota Kinabalu.
“Mana-mana individu mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Rasul Ramlee di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Dr Rohan Shah berkata, pengguna jalan raya khususnya di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sedia ada serta sentiasa mengamalkan sikap sabar dan berhati-hati ketika memandu