KOTA KINABALU :Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang kontraktor disyaki membuat tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah RM12,500.
Menurut sumber, suspek disyaki melakukan pembekalan pakaian korporat sebuah Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini
Katanya, suspek lelaki berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira jam 3 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023.
“Suspek disyaki telah membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan pakaian korporat bernilai kira-kira RM12,500 sedangkan pembekalan yang hanya dibuat bernilai kira-kira RM4,500.
“Hasil siasatan turut menyita wang tunai kira-kira RM8,000 yang disyaki wang pembekalan yang tidak dilaksanakan dan telah diserahkan suspek kepada seorang Pegawai Pendidikan Daerah pada akhir tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
